Assalammualaikum,

Blog ini menyediakan himpunanan hadis Rasullulah SAW yang pelbagai untuk rujukkan umat islam.Sesiapa yang ingin mencari rujukkan hadis - hadis Rasullullah SAW , anda telah menemui blog yang berkenaan . Sesungguhnya seseorang muslim yang beriman itu tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepada Al - Quran dan Sunnah ( Hadis ) Rasullullah SAW.Sesiapa yang bercanggah tentang sesuatu perkara dan hilang pedoman , kembalilah pada Al - Quran dan Hadis Rasullulah , nescaya engkau pasti selamat.Semakin dekat hari Kiamat itu , maka manusia akan semakin hilang pedoman , maka Al - Quran dan Hadis Rasullullah lah yang akan membantu.Semoga dengan terciptanya blog ini akan dapat memudahkan urusan kalian semua.Insyallah , blog ini akan sentiasa di Update dengan izin Allah SWT.



تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku
عَنْ سَلْمَةَ قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ مَنْ يَقُلُ عَلَى مَا أَقُلُ فَلْيَتَبَوَّا مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Dari salmah katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Barang siapa yang mengatakan sesuatu yang tidak pernah kuucapkan
maka menepati tempat duduknya di neraka."
Hadis sahih riwayat Muslim

Al Fatihah kepada Arwah Adik Shafain bin Shaedi



Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 13

Share
Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
 
(At-Tirmidzi)

Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)
 
(Muslim)

Puasa lidah
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”
 
(Imam Ahmad)

Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” 

 
Riwayat Ibnu Majah

Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka
Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
 
(al-Bukhari dan muslim)

Sunat Berbuka Dengan Kurma
Hadith :
Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.
 
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh negeri orang itu dan tempat tinggalnya.
 
Abdillah bin Masud r.a

Selawat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak."
 
Amir bin Rabiah r.a

Tebusan Orang Islam
Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat, Allah Taala mendorong setiap Yahudi atau Nasrani ke hadapan setiap orang Islam lalu firman-Nya:”Inilah tebusanmu dari api neraka.”
 
(Muslim)

Sebab Dilarang Melakukan Perbuatan Keji
Hadith :
Dari Abdullah r.a Rasulullah s.a.w bersabda.”Tidak ada yang lebih suka dipuji selain dari Allah S.W.T. Kerana itu Dia memuji diri-Nya sendiri. Dan tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah. Kerana itulah dia melarang segala yang keji.”
 
(Muslim)

Solat Jenazah Di Dalam Masjid
Hadith :
Dari Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya:”Ketika Saad bin Abi Waqqas wafat, Aisyah berkata:”Bawalah jenazah itu ke adalam masjid supaya aku dapat mensolatkannya . Permintaan Aisyah itu diingkari oleh banyak orang. Lalu berkata Aisyah:”Demi Allah, Rasulullah s.a.w pernah solat jenazah dalam masjid untuk dua orang putera Baidha’ iaitu Suhail dan saudaranya.”
 
(Muslim)

Solat Sambil Duduk
Hadith :
Daripada Abdullah bin Syaqiq r.a bahawasanya dia bertanya kepada Aisyah r.a, katanya:”Adakah nabi s.a.w solat sambil duduk?” Jawab Aisyah:”Ada! Iaitu di hari-hari tua baginda.”
 
(Muslim)

Sedekah Yang Ditolak
Hadith :
Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)”
 
(Muslim)

Dada Rasulullah S.a.w Dibelah
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.”
 
(Muslim)

Cara Solat Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila rasulullah s.a.w berdiri untuk rakaat kedua baginda terus membaca Fatihah tanpa diam terlebih dahulu sebentar.”
 
(Muslim)

Zakat Dan Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada suatu waktu, ketika Hasan bin Ali masih kecil, dia pernah mengambil kurma dari tompokan kurma sedekah (zakat), lalu diletakkannya ke mulutnya. Maka bersabda Rasulullah s.a.w,:”Jijik, jijik, buang! Tidak tahukah kamu bahawa kita (keluarga Muhammad) tidak boleh memakan sedekah (zakat)?”
 
(Muslim)

Jangan Kedekut @ Tamak!
Hadith :
Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Bahagianya Di Alam Syurga
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula sekembalimu.”
 
(Muslim)

Menafikan Asal Keturunan Suatu Pendustaan
Hadith :
Dari Wasilah bin Aqsa’ r. a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:’Sesungguhnya termasuk dusta yang amat besar bahawa seseorang menamakan dirinya bukan keturunan ayahnya atau mengaku melihat apa yang tidak dilihatnya atau mengatakan sabda Rasulullah s.a.w padahal beliau tidak bersabda begitu.”
 
(al-Bukhari)

Cara Memandikan Jenazah
Hadith :
Ummu Athiyah r.a mengatakan bahawa ketika para wanita memandikan puteri Rasulullah yang meninggal, Rasulullah bersabda kepada mereka:”Mulailah dengan bahagian kanan dan anggota wudhu’nya.”
 
(al-Bukhari)

Makmum Tidak Menanggung Dosa Imam
Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:”Mereka solat menjadi imam solat bagimu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu akan mendapat pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala sedangkan mereka berdosa.”
 
(al-Bukhari)

Siksa Kubur Itu Benar!
Hadith :
Dari Abu Ayyub r.a katanya:”Rasulullah s.a.w pernah keluar rumah sebelum Maghrib, maka terdengar oleh baginda suatu suara. Kata baginda: Itu suara Yahudi sedang disiksa dalam kuburnya.”
 
(Muslim)

Fadhilat Puasa Assyura
Hadith :
Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:”Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".
 
(Muslim)

Sejarah Puasa Assyura
Hadith :
Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga".
 
(Muslim)

Pemberian Ansar Kepada Muhajirin
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tidak membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan mereka (muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas dikenali dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda berikannya kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.”
 
(Bukhari)

Orang Yang Mati Syahid
Hadith :
Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”.
 
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Berkongsi pahala
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila seorang isteri menyedekahkan makanan dari persediaan yang ada di rumahnya tanpa mengurangi keperluan rumahtangganya, maka si isteri itu mendapat pahala kerana dia yang menyedekahkannya dan si suami mendapat pahala kerana dia berusaha (menghasilkannya) dan seorang bendahari juga mendapat pahala tanpa berkurang sedikit pun.”
 
(Muslim)

Kemuliaan Mati Syahid
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid.”
 
(Muslim)

Bohong sunat
Hadith :
Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.”
 
(Bukhari)

Berbuat Baik Itu Sedekah
Hadith :
Dari Abu Syaibah r.a dari nabi s.a.w, sabdanya:”Setiap perbuatan baik (makruf) adalah sedekah.”
 
(Muslim)

Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tinggal separuh bulan Syaaban janganlah kamu semua berpuasa sunat.”
 
(at-Tirmidzi)

Memakai Haruman
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Aku pernah memakaikan haruman ke baju ihram Rasulullah s.a.w tatkala baginda hendak berihram dan sesudah tahallul sebelum tawaf di Baitullah.”
 
(Muslim)

Kelebihan bersedekah
Hadith :
Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” 

 
(Bukhari)

Elakkan Berkata”kalau”
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.”
 
Riwayat Muslim

Keguguran Dan Cara Mengurus
Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Anak yang mati keguguran disolatkan dan didoakan bagi kedua orang tuanya agar memperolehi keampunan dan rahmat.”

 
Riwayat Abu daud dan at-Tirmidzi

Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”
 
Riwayat at- Tirmidzi

Lestarikan Kemerdekaan Dengan Perpaduan
Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “ 

 
(Bukhari)

Galakan Berpuasa Sunat
Hadith :
Dari Aisyah r.a :” Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:”Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah berkata:” Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)” Baginda bersabda “(Jika begitu) maka aku berpuasa”

 
(Muslim)

Di Mana Imam Berdiri Dalam Solat Jenazah?
Hadith :
Samurah Ibnu Jundub r.a berkata : “Saya bersolat di belakang nabi SAW untuk jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan pinggang jenazah tersebut.”
 
(al-Bukhari dan Muslim )

Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."
 
Ummi Salamah r.a

Air Mazi Tidak Mewajibkan Mandi Hadas Besar
Hadith :
Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi, lalu aku menyuruh al-Miqdad ibn al-Aswad bertanya kepada nabi SAW, lalu ia pun bertanya, maka baginda menerangkan : “Padanya, air sembahyang.”
 
(al-Bukhari 4 : 34. Muslim 3 : 4)

Setiap Penyakit Ada Penawarnya
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”
 
(Abu Daud)

Jalan Yang Menyampaikan Kepada Ma'rifat
Hadith :
Dari Nabi s.a.w, sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah….."
 
Ibn Abbas r.a

Kerasulan Nabi Muhammad S.a.w
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: " Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang mendengar akan perihalku ( menjadi utusan Allah ) kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan ( agama Islam ) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka."
 
Abu Hurairah r.a

Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: "Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."
 
Anas r.a

Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menyeksa haiwan dengan mengerat, mengoyak, mencabut atau mengelar mana-mana anggotanya, maka ditimpakan atasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia semuanya."
 
Ibn Umar r.a

Perihal Syaitan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku pada hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman): "Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah Halal; dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar…."
 
'Iyadh bin Himar Al-Mujasyi'I r.a

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau Sakratul maut (yang sedang aku hadapi)".
 
Aisyah r.a

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab: "Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!" Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: "Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya."
 
Abu Hurairah r.a

Allah Mengampuni Dosa Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
 
Riwayat Bukhari dan Muslim

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."
 
Anas r.a

Ciri-ciri Orang Munafik
Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.
 
Riwayat Ahmad

Menghormati Orang Yang Sedang Sakit
Hadith :
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".
 
Ibn Abbas r.a

Memuliakan Rasulullah Dan Keluarga Baginda
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat dan mertua serta menantu-menantu; dan (ingatlah) akan datang suatu puak yang mencaci dan membenci mereka, maka janganlah kamu bersekedudukan dengan mereka, dan janganlah kamu semakan seminum dengan mereka,dan jangan juga kamu bersemenda dengan mereka."
 
Anas r.a

Masa Hari Kiamat Dan Huru-haranya
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya sehingga air peluh mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta, dan menenggelami mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing".
 
Abi Hurairah r.a

Perhimpunan Di Padang Mahsyar Sehingga Masing-masing Menerima Balasan
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baharu dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang".
 
Sahl bin Sa'id As-Sa'idiy r.a

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya: "Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati kepada sesiapa pun dengan sebab mudah dan ringannya Sakratul maut yang dialaminya, sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah s.a.w menghadapi Sakratul maut."
 
Aisyah r.a

Hampirnya Saat-saat Kiamat
Hadith :
Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak berlaku saat kiamat melainkan semasa tidak ada di dunia ini selain daripada orang-orang jahat (yang tidak mengenal baik dan buruk)."
 
Ibn Mas'ud r.a

Tanda-tanda Kiamat
Hadith :
Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
 
Huzaifah r.a

Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
 
Ummi Salamah

Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan sakit itu."
 
Jabir r.a

Separuh Pahala
Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.
 
'Uthman bin 'Affan r.a

Bawang Putih Dan Bau Mulut
Hadith :
Abu Ayyub r.a meriwayatkan katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: “Apakah ia haram? Baginda bersabda: “Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata: “Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak menyukainya.”
 
(HR Muslim)

Pahalanya Tetap Ada
Hadith :
Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “ Seorang lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “ Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)