Assalammualaikum,

Blog ini menyediakan himpunanan hadis Rasullulah SAW yang pelbagai untuk rujukkan umat islam.Sesiapa yang ingin mencari rujukkan hadis - hadis Rasullullah SAW , anda telah menemui blog yang berkenaan . Sesungguhnya seseorang muslim yang beriman itu tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepada Al - Quran dan Sunnah ( Hadis ) Rasullullah SAW.Sesiapa yang bercanggah tentang sesuatu perkara dan hilang pedoman , kembalilah pada Al - Quran dan Hadis Rasullulah , nescaya engkau pasti selamat.Semakin dekat hari Kiamat itu , maka manusia akan semakin hilang pedoman , maka Al - Quran dan Hadis Rasullullah lah yang akan membantu.Semoga dengan terciptanya blog ini akan dapat memudahkan urusan kalian semua.Insyallah , blog ini akan sentiasa di Update dengan izin Allah SWT.



تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku
عَنْ سَلْمَةَ قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ مَنْ يَقُلُ عَلَى مَا أَقُلُ فَلْيَتَبَوَّا مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Dari salmah katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Barang siapa yang mengatakan sesuatu yang tidak pernah kuucapkan
maka menepati tempat duduknya di neraka."
Hadis sahih riwayat Muslim

Al Fatihah kepada Arwah Adik Shafain bin Shaedi



Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 8

Share
Sumpah Yang Membahayakan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang berkeras hati melaksanakan sumpahnya, padahal membahayakan keluarganya, maka tindakan orang itu lebih besar dosanya di sisi Allah daripada dia membayar denda yang diwajibkan Allah.”

(Muslim)


Kusta
Hadith :
Dari Amar bin Syarid, dari bapanya r.a katanya:”dalam deligasi Tsaqif (yang akan dibai’at Rasulullah s.a.w) terdapat seorang lelaki berpenyakit kusta. Lalu Rasulullah s.a.w mengirim seorang utusan supaya mengatakan kepadanya:’Kami telah menerima bai’at anda. Kerana itu anda sudah boleh pulang.”

(Muslim)


Kasih Sayang Tergantung Di Arasy
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Rahim (kasih sayang) itu tergantung di “Arasy. Katanya:”Siapa yang menghubungkanku, menghubungi pula Allah akan dia dan siapa memutuskanku, memutuskan pula Allah akan dia.”

(Muslim)


Menggelapkan Wang
Hadith :
Dari ‘Adi Ibnu ‘Amirah al-Kindi r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:’Sesiapa yang kami angkat di antara kamu memangku suatu jabatan, lalu disembunyikannya terhadap kami sebuah jarum atau yang lebih kecil dari itu, maka perbuatannya itu adalah penggelapan. Dia akan datang pada hari kiamat membawa barang yang digelapkannya itu.”

(Muslim)


Sempat Dalam Waktunya
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang mendapatkan Subuh satu rakaat sebelum terbit matahari, bererti dia telah mendapatkan Subuh seutuhnya. Dan sesiapa yang mendapatkan Asar satu rakaat sebelum matahari terbenam, bererti dia telah mendapatkan Asar seutuhnya.”

(Muslim)


Seperti Makan Tak Pernah Kenyang
Hadith :
Dari Muawiyah r.a katanya:”Hindarilah hadith-hadith palsu kecuali hadith-hadith pada masa Umar bin al-Khattab. Sesungguhnya Umar sangat ditakuti orang mengenai hukum-hukum Allah apalagi mengenai hadith-hadith palsu (kerana tindakannya tegas). Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang dikehendaki Allah menjadi (orang) baik, maka diberinya orang itu pengetahuan yang dalam tentang agama.” Dan aku mendengar pula Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku ini adalah seorang bendahara. Maka siapa yang kuberi (sedekah) dan diterimanya dengan hati bersih , maka dia akan beroleh berkat dari harta itu. Tetapi siapa yang kuberi kerana meminta-minta dan rakus, maka dia seperti orang makan yang tak pernah kenyang.”

(Muslim)


Mengalas Kaki
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya:”Aku mendengar nabi s.a.w bersabda dalam suatu peperangan yang kami hadapi bersama, sabdanya:”Biasakanlah memakai terompah kerana terompah itu sama fungsinya dengan kenderaan (memelihara kaki).”

(Muslim)


Ketentuan Talak
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Kami para isteri Rasulullah s.a.w pernah diberi pilihan oleh baginda, bercerai atau tetap bersama baginda. Kami semua memilih tetap bersama baginda. Maka hal itu tidak dihitung talak.”

(Muslim)


Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim
Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.”

(Muslim)


Azan Dua Kali
Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ummu Maktum, baginda bersabda: “Sesungguhnya Bilal bertugas untuk mengazankan sembahyang di waktu malam sebelum terbit fajar, oleh itu makan dan minumlah kamu semua (bersahur) sehinggalah Ummu Maktum azan yang menandakan masuknya waktu Subuh. Ibnu Umar r.a. berkata: “ Tidak ada jarak di antara kedua juru azan itu, melainkan jika Bilal telah selesai azan lalu disambung oleh Ummu Maktum pula, dalam jarak yang tidak terlalu lama”

(al-Bukhari dan Muslim)


Berjanjilah Sesuai Dengan Kemampuan
Hadith :
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya:”Kami melakukan bai’at dengan Rasulullah s.a.w untuk patuh dan setia. Lalu nabi s.a.w bersabda:”Ucapkanlah!” Lalu aku berbai’at sesuai dengan kesanggupanku.”

(Muslim)


Rasulullah Diracun
Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Seorang perempuan Yahudi menghantar daging yang telah dimasukkan racun kepada nabi s.a.w lalu baginda makan sebahagiannya. Kemudian perempuan itu dibawa orang ke hadapan Rasulullah s.a.w lalu baginda bertanya kepadanya berkenaan dengan racun tersebut. Jawabnya:” Aku sengaja hendak membunuh anda.” Sabda nabi s.a.w :”Tidak mungkin Allah S.W.T akan memberikan sewenang-wenangnya kepadamu untuk berbuat demikian. “ Kemudian Ali bertanya:”Bolehkan kami membunuh perempuan itu?” jawab baginda:”Jangan!.” Kata Anas selanjutnya:”kami melihat kesan racun itu jelas kelihatan di leher Rasulullah s.a.w .”

(Muslim)


Duri Dan Pahala
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:”Pada suatu ketika ada seseorang berjalan di jalan raya. Ia melihat duri lalu dibuangkannya. Tuhan memberinya pahala dan ampunan.”

(al-Bukhari)


Ihsan dalam Penyembelihan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan di atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan. Dan apabila menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan sembelihan.”

Riwayat Muslim


Ramah Tamah
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang tidak mempunyai sifat ramah tamah, bererti dia tidak mempunyai kebaikan.”

(Muslim)


Cemerlang Di Kalangan Syaitan
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.”

(Muslim)


Mengutamakan Kasih Sesama Muslim
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Ketika Rasulullah s.a.w sedang hampir nazak, baginda keluar dengan kepala diikat dengan sehelai kain, lalu baginda duduk di atas mimbar. Setelah memuji dan manyanjung Allah SWT, baginda bersabda:”Tidak ada orang yang paling dekat kepadaku tentang diri dan hartanya selain Abu Bakar bin Abu Quhafah. Jikalau boleh aku memilih kawan di antara segala manusia, maka kupilih Abu Bakar. Tetapi persaudaraan sesama Islam lebih utama. Tutuplah semua pintu masjid ini kecuali pintu Abu Bakar.”

(al-Bukhari)


Larangan Membuka Rahsia Pasangan
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Seburuk-buruk tempat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah tempat suami yang telah saling percaya-mempercayai dengan isterinya, tetapi kemudian si suami membuka rahsia peribadi isterinya sendiri.”

(Muslim)


Pendek Tetapi Sempurna
Hadith :
Anas r.a meriwayatkan, katanya:”Nabi s.a.w pernah memendekkan solat baginda, tetapi baginda melakukannya dengan sempurna.”

(al-Bukhari)


Jangan Sampai Bosan
Hadith :
Berkata Abu wail r.a katanya:”Abdullah (bin Umar) mengajar suatu jamaah tiap-tiap hari Khamis. Seorang lelaki berkata:”Hai Abu Abdul Rahman! Saya mengharap supaya kamu dapat mengajar kami setiap hari.” Jawab Abdullah:”Saya khuatir jikalau kamu semua menjadi bosan. Saya memilih waktu yang baik sebagaimana juga nabi memilih waktu yang baik untuk kami belajar, menjaga supaya kami tidak bosan.”

(al-Bukhari)


Rasulullah Tidak Memberatkan Umatnya
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w solat malam di kamarnya, padahal dinding kamar itu rendah (pendek) sehingga orang lain dapat melihat baginda. Kerana itu mereka solat sepertimana baginda. Setelah hari pagi, mereka memperkatakan hal itu. Malam keduanya, nabi solat lagi. Orang lain pun solat juga seperti baginda. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam dan sesudah itu baginda solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah Subuh, orang ramai menanyakan hal tersebut kepada baginda. Jawab baginda:”Aku takut kalau-kalau kamu menganggap solat malam itu wajib.”

(al-Bukhari)


Menghormati Jenazah
Hadith :
Dari Umar bin Rabi’ah r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Apabila kamu melihat jenazah, berdirilah sehingga ia meninggalkan kamu.”

al-Bukhari


Llmu, Iman Dan Amal
Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.”

(Bukhari)


Syurga Yang Didambakan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab baginda:”Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.”

(al-Bukhari)


Dasar Kerja Orang Bekerja
Hadith :
Dari Imran r.a katanya, s:aya bertanya:”Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja?” Baginda menjawab;”Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.”

(al-Bukhari)


Pengharaman Minuman Keras
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya,:”Ketika turub ayat-ayat surah al-Baqarah tentang riba, Rasulullah s.a.w pergi ke masjid, maka baginda membacakan semuanya kepada orang ramai, kemudian baginda haramkan perdagangan minuman keras.”

(al-Bukhari)


Syirik; Menganiaya Diri Sendiri
Hadith :
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya,:”Tatkala turun ayat yang berbunyi:”Mereka yang beriman dan tidak mencampur-baurkan iman mereka dengan aniaya, mereka akan beroleh ketenteraman dan akan dipimpin (Allah). Bertanya para sahabat Rasulullah s.a.w:”Siapakah di antara kami yang tidak aniaya terhadap dirinya sendiri? Maka diturunkan Allah ayat:”Sesungguhnya syirik (mempersekutukan Allah) adalah aniaya yang amat besar.)”

(al-Bukhari)


Bagi Siapa Yang Mahu!
Hadith :
Dikhabarkan daripada Abdullah bin Mughaffal al-Muzani r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Antara azan dan iqamat ada solat.” Baginda mengucapkan sabdanya itu sehingga tiga kali dan menambah pada kali yang ketiga:”Bagi orang yang mahu.”

(al-Bukhari)


Perniagaan Yang Berkat
Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a dari nabi s.a.w sabdanya:”Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak untuk memilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama kedua-duanya belum berpisah. Jika keduanya berlaku jujur dan berterus terang menjelaskan (keadaan barang yang dijual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (kecacatan masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka.”

(Muslim)


Haram Nikah Mut’ah
Hadith :
Dari Rabi’ bin Sabrah al-Juhhani r.a, bapanya mengkhabarkan kepadanya bahawa dia pernah pergi bersama-sama Rasulullah s.a.w (dalam peperangan menakluki Mekah), Rasulullah s.a.w bersabda,:”Aku telah membolehkan kepadamu nikah Mut’ah. Sesungguhnya (mulai saat ini) Allah telah mengharamkannya sehingga hari kiamat nanti. Maka sesiapa yang masih mempunyai isteri mut’ah, ceraikanlah dia dan jangan kamu ambil kembali daripadanya apa-apa yang telah kemu berikan kepadanya.”

(Muslim)


Kelayakan Untuk Meminta
Hadith :
Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:”Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:”Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, “Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan: 


1) Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta. 


2) Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya. 


3) Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.”

(Muslim)


Anak Adalah Ujian Allah
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda beginda s.a.w, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”

(Bukhari)


Jual Beli Yang Diharamkan
Hadith :
Dari Abu Mas’ud al-Ansaari, katanya:”Rasulullah s.a.w melarang tentang harga (jual beli) anjing membayar mahar penzina dan membayar tukang tenung.”

(Bukhari)


Kunci Kerukunan Ummah
Hadith :
Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda,:”Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak.”

(Bukhari)


Raja Segala Langit Dan Bumi
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat Allah Tabaraka wa Taala akan menggenggam bumi dan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Dia berfirman:”Akulah Raja! (penguasa) Manakah dia raja-raja di bumi?”

(Muslim)


Mukjizat Rasulullah; Bulan Terbelah Dua
Hadith :
Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a katanya:”Ketika kami duduk bersama rasulullah s.a.w di Mina, tiba-tiba bulan terbelah dua. Sebelah terletak di belakang bukit dan sebelah lagi di hadapannya. Maka berkata Rasulullah s.a..w kepada kami:”Saksikanlah itu!”

(Muslim)


Islam Agama Terbaik
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Seandainya ada sepuluh orang Pendeta Yahudi yang sungguh-sungguh iman denganku, tidak seorang jua pun orang-orang Yahudi yang tinggal melainkan mereka masuk Islam semuanya.”

(Muslim)


Panduan Bagi Orang Yang Diuji
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Riwayat Ibn Abi Dunya


Tertib Solat rasulullah S.a.w
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w memulai solat baginda dengan takbir. Sesudah itu baginda membaca surah al-Fatihah. Apabila baginda rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). Apabila baginda bangkit dari rukuk, baginda tidak sujud sebelum baginda berdiri lurus lebih dahulu. Apabila baginda mengangkat kepala dari sujud (pertama) baginda tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. Tiap-tiap selesai dua rakaat baginda membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Baginda melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan baginda menyudahi solat dengan membaca salam.”

(Muslim)


Mati Dalam Iman
Hadith :
Dari jabir (bin Abdullah ) r.a katanya dia mendengar rasulullah s.a.w bersabda:” Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat)menurut keadaan (aqidah atau imannya) ketika mati.”

(Muslim)


Larangan Mempercayai Tukang Tilik
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:.”Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.”

(Muslim)


Azab Hari Akhirat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Di bawa Neraka jahanam pada hari itu, dengan tujuh puluh ribu tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada tujuh puluh ribu Malaikat menariknya".

Abdullah bin Mas'ud r.a


Sebaik-baik Rezeki
Hadith :
Dari Miqdam r.a, dari rasulullah s.a.w,:”Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik daripada memakan makanan hasil dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah daud a.s makan dari hasil usaha tangan baginda sendiri.”

(Bukhari)


Biarpun Kecil, Besar Ganjarannya
Hadith :
‘Abayah bin Rifa’ah r.a mengkhabarkan bahawa dia bertemu dengan Abu ‘Abbas ketika dia pergi Jumaat. Abu ‘Abbas berkata kepadanya bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:”Siapa yang berdebu kedua kakinya kerana berjalan di jalan Allah nescaya diharamkan Allah baginya api neraka.”

(Bukhari)


Keluar Dari Neraka Kerana Syafaat
Hadith :
Jabir bin Abdullah r.a mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan suatu kaum daripada neraka kerana syafaat (pembelaan).”

(Muslim)


Biar Sedikit Tetapi Halal
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w berdiri lalu baginda berpidato kepada orang ramai. Sabda baginda:”Demi Allah! Tidak ada yang aku khuatirkan terhadap kamu sekelian melainkan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada kamu sebagai perhiasan dunia.” Lalu seorang lelaki bertanya:”ya Rasulullah! Adakah mungkin sesuatu yang baik mendatangkan bencana? “ Mendengar pertanyaan itu, Rasulullah s.a.w diam seketika, kemudian baginda bertanya kembali:”Apakah yang kamu tanyakan?”Orang itu mengulangi pertanyaannya:”Adakah mungkin sesuatu yang baik mendatangkan bencana?” Jawab Rasulullah s.a.w Sesungguhnya sesuatu yang baik itu memang mendatangkan kebaikan. Tetapi apa yang kelihatan baik belum tentu selamanya baik. Rumput yang tumbuh di musim hujan, tiba-tiba dapat membunuh binatang ternak atau membinasakannya. Melainkan bagi yang memakannya hanya sampai kenyang, sesudah itu ia berhenti, lalu menghadap ke arah matahari, berak atau kencing, sesudah itu barulah dia makan kembali. Sesiapa yang mendapat harta dengan jalan halal, dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang memperolehinya dengan jalan yang tidak halal, maka contohnya seperti orang yang makan yang tidak pernah merasa kenyang.”

(Muslim)


Menghindarkan Diri Daripada Api Neraka
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda,:”Manusia diciptakan Allah mempunyai tiga ratus enam puluh ruas. Maka siapa yang membaca takbir, tahmid, tahlil, tasbih dan istighfar, menyingkirkan batu, duri atau tulang dari jalanan serta mengajak orang kepada kebajikan dan mencegah kepada yang mungkar sebanyak tiga ratus enam puluh kali itu, nescaya dia terhindar daripada api neraka pada hari itu.”

(Muslim)


Cinta Lahirkan Ketaatan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”

(al-Bukhari dan Muslim) ; Rujuk Mukhtasar Sahih al-Bukhari 14, Mukhtasar sahih Muslim 23)


Keutamaan Membaca Surah Al-baqarah
Hadith :
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”

Riwayat Muslim


Jangan Meminta Mati
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah 'Azza wa Jalla apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha maka ia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu maka ia akan mendapat kemurkaan dari Allah."

Anas r.a


Selawat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."

Ibn Mas'ud r.a


Bersua Dalam Murka
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya,:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah sedangkan Allah marah kepadanya.”

(al-Bukhari)


Seimbang Dunia Dan Akhirat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi saw. bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”

(Bukhari)


Wajib Mandi Sekalipun Hanya Kerana Bermimpi
Hadith :
Ali bin Abdullah menyampaikan kepada kami, daripada Sufyan bin Salim, daripada ‘Ata’ bin Yasar, daripada Abu Said al-Khudri, daripada nabi s.a.w bersabda baginda:” mandi pada hari Jumaat itu wajib ke atas setiap yang bermimpi (keluar mani).”

(Bukhari)


Dugaan Menghapuskan Dosa
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.”

(Muslim)


Bila Ajal Telah Tiba
Hadith :
Daripada Mathar bin ‘Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu.”

Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tirmidzi, rujuk Sahih sunan at-Tirmidzi 2249-1745


Bulan Safar Bawa Sial?
Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?”

al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad


Berwuduk
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat, dalam keadaan indah berseri serta bercahaya-cahaya mukanya dan anggotanya yang lain dari kesan wuduknya(yang sempurna)”.



Riwayat Bukhari dan Muslim


Dua Nikmat Yang Sering Dilupakan
Hadith :
Daripada Ibn Masud r.a katanya, “ Aku bersembahyang tahajud bersama Nabi s.a.w, baginda telah memanjangkan berdirinya sehingga aku hampir melakukan perkara yang tidak baik”. Ibn Mas`ud ditanya, “ apakah gerangan yang hendak engkau lakukan?” jawabnya, “aku hendak duduk mufarraqah daripadanya”. 

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Lima Kunci Rahsia
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:”Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.

(Bukhari)


Hidup Untuk Bahagia Atau Hidup Untuk Celaka
Hadith :
Dari Abu malik al-Asy’ari katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w:”Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.” 



(Muslim)


Syafaat rasulullah
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”

Riwayat Abu Daud


Ketaatan Yang Dituntut Oleh Islam
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.”

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Dunia Sebagai Tempat Berdagang
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang dinegeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan. “Ibnu Umar r.a. berkata,” Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”.

al-Bukhari


Jangan melampau
Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW bertanya kepada para isteri baginda tentang amal ibadah baginda ketika sedang bersunyi diri (sendirian). Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata:”Aku tidak akan berkahwin!” Sebahagian lagi berkata,:”Aku tidak akan makan daging” Yang lain pula berkata :”Aku tidak akan tidur di atas kasur (tempat perbaringan).” Mendengar ucapan para sahabat itu, Nabi SAW serta merta memuji Allah SWT, lalu baginda bersabda:”Bagaimanalah cara mereka berfikir sehingga mereka bercakap begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka bahkan aku bernikah. Sesiapa yang benci kepada cara hidup (sunnahku) maka dia tidak termasuk golonganku.

(Bukhari)


Taubat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”



Riwayat Bukhari & Muslim


Sama Nilainya Dengan Solat Dhuha
Hadith :
Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.”

(Muslim)


Adab Dalam Meminang
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Nabi SAW bersabda:”Jangan kamu beli barang yang sedang ditawar oleh saudaramu; jangan kamu pinang wanita yang sedang dipinang saudaramu, melainkan apabila telah diizinkannya.” 



(Muslim)


Hormatilah Ibu Sekalipun Berlainan Agama
Hadith :
Dari Asma’ binti Abu Bakar r.a katanya:”Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku. Lalu aku meminta izin Rasulullah SAW dengan berkata:”Ya Rasulullah! Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?”Jawab Rasulullah SAW,”Ya boleh! Berjumpalah dengan ibumu.”

(Muslim)


Jangan Berbohong
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Saya dengar nabi SAW bersabda:”Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.”

(Bukhari)


Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia
Hadith :
Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud r.a, kemudian Rasulullah s.a.w. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, “Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya”.

(Bukhari dan Muslim)


Pelunasan Hak Di Padang Mahsyar
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a katanya:”Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:”Sesungguhnya sebarang hak tak dapat tidak mesti dibayar kepada tuannya sehingga kambing biri-biri yang dogol (tidak bertanduk) diberikan peluang membalas kambing biri-biri yang bertanduk” ‘Iaitu menanduknya’ mengikut satu riwayat.”

Muslim dan at-Tirmidzi


Makanan Syaitan
Hadith :
Ibnu Abbas r.a meriwayatkan katanya: “Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawan mereka supaya membantah kamu. Sabda Nabi SAW : “Mereka berkata: “Binatang yang disebutkan nama Allah, janganlah kamu memakannya dan binatang yang tidak disebutkan nama Allah, maka hendaklah kamu memakannya.” Maka Allah berfirman : “Maka janganlah kamu makan binatang yang tidak disebutkan nama Allah.

(al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud)


Khairun Nisa’
Hadith :
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”

Riwayat Muslim


Ciri-ciri kesempurnaan iman
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.”

Riwayat Ahmad


Keadaan Selepas Kebangkitan
Hadith :
Dari Jabir r.a bahawa Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang mati pada masa ia taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dalam keadaan yang menyukakan; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakan. ”

(Muslim & Ibnu Majah)


Kesukaan Dan Kebencian Allah Swt
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah meredhakan tiga perkara bagi kamu dan Ia membenci tiga perkara bagi kamu. Ia redha supaya kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan Ia membenci bagi kamu berkata begini begitu, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.”

(Muslim)


Isyak Yang Panjang
Hadith :
Dari Aisyah r.a ia berkata: “ Rasulullah telah mengakhirkan solat Isyak’ pada suatu malam sehingga lewat larut malam, lalu baginda keluar dan melakukan solat. Baginda berkata: “Sesungguhnya ini adalah waktunya seandainya tidak memberatkan umat ku. “

Riwayat Muslim


Di Atas Hamparan Sejadah
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya."

Abu Huraiarah r.a


Soalan Di Dalam Kubur
Hadith :
Dari Asma’ r.a katanya:”Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ‘Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya,”Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?” Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, “Ayat? (tanda kebesaran Allah?)” Jawab ‘Aisyah, “Ya! Tanda kebesaran Allah!” Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening). Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku. Kata ‘Asma selanjutnya,”Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain:”Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah kusaksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajjal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,:”Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?”Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,:”Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi.” Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,:”Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak.” Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,:”Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu kuucapkan pula.”

(Muslim)


Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis
Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.”

Riwayat al-Bukhari


Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat
Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.

Riwayat Muslim


Kewajipan Majikan
Hadith :
Daripada Khaitamah r.a katanya : “Kami sedang duduk bersama-sama Abdullah bin Umara r.a. Tiba-tiba datang seorang ketua pelayan, maka Ibnu Umar berkata : “Adakah engkau telah memberikan makanan kepada hamba sahaya?” Pelayan itu menjawab: “Tidak.” Ibnu Umar berkata : “Pergilah dan berikanlah kepada mereka. Dan beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda : “Cukuplah seseorang itu berdosa, ia menahan makanan terhadap orang yang di bawah kuasanya.”

Muslim


Budi Bahasa Budaya Kita
Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar.” Para sahabat bertanya:”Adakah orang yang mencaci ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w ,:”Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula.”

(Muslim)


Kewajipan Majikan
Hadith :
Daripada Khaitamah r.a katanya : “Kami sedang duduk bersama-sama Abdullah bin Umara r.a. Tiba-tiba datang seorang ketua pelayan, maka Ibnu Umar berkata : “Adakah engkau telah memberikan makanan kepada hamba sahaya?” Pelayan itu menjawab: “Tidak.” Ibnu Umar berkata : “Pergilah dan berikanlah kepada mereka. Dan beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda : “Cukuplah seseorang itu berdosa, ia menahan makanan terhadap orang yang di bawah kuasanya.”

Muslim


Perkahwinan Rasulullah Saw Dengan Aisyah R.a
Hadith :
Daripada Aisyah r.a katanya : “ Aku berkata: “ Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan jika tuan berhenti di sebuah wadi yang ada pokok yang telah dimakan sebahagiannya dan tuan dapati pula pokok yang belum dimakan darinya, pokok manakah yang tuan hendak menternak unta tuan? Rasulullah SAW bersabda : “Pada pokok yang belum lagi dimakan daunnya. Maksud Aisyah ialah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengahwini perawan selainnya.” (al-Bukhari)

al-Bukhari