Assalammualaikum,

Blog ini menyediakan himpunanan hadis Rasullulah SAW yang pelbagai untuk rujukkan umat islam.Sesiapa yang ingin mencari rujukkan hadis - hadis Rasullullah SAW , anda telah menemui blog yang berkenaan . Sesungguhnya seseorang muslim yang beriman itu tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepada Al - Quran dan Sunnah ( Hadis ) Rasullullah SAW.Sesiapa yang bercanggah tentang sesuatu perkara dan hilang pedoman , kembalilah pada Al - Quran dan Hadis Rasullulah , nescaya engkau pasti selamat.Semakin dekat hari Kiamat itu , maka manusia akan semakin hilang pedoman , maka Al - Quran dan Hadis Rasullullah lah yang akan membantu.Semoga dengan terciptanya blog ini akan dapat memudahkan urusan kalian semua.Insyallah , blog ini akan sentiasa di Update dengan izin Allah SWT.



تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku
عَنْ سَلْمَةَ قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ مَنْ يَقُلُ عَلَى مَا أَقُلُ فَلْيَتَبَوَّا مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Dari salmah katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Barang siapa yang mengatakan sesuatu yang tidak pernah kuucapkan
maka menepati tempat duduknya di neraka."
Hadis sahih riwayat Muslim

Al Fatihah kepada Arwah Adik Shafain bin Shaedi



Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 7

Share
Jauhi Perbuatan Syirik
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.” 



Riwayat Muslim


Keunikan Ahli Syurga
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus.” Para sahabat bertanya:”Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:”Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.”

(Muslim)


Wajib Beriman Kepada Nabi Muhammad S.a.w dan Agama Islam
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: " Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-nabi yang terdahulu daripadaku….; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedang aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya." Dan pada satu riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah ( Baginda s.a.w bersabda ): "…..sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk."

Jabir bin Abdullah r.a


Beriman Kepada Kitab-kitab Allah
Hadith :
Abdullah bin Salam dan serombongan dari kaumnya datang mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami beriman kepadamu, dan kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan kepada Nabi Musa, dan kepada kitab Taurat, dan juga kepada Uzair, dan kami kufur terhadap yang lainnya dari Kitab-kitab dan Rasul-rasul." (Mendengar yang demikian) maka Baginda Rasulullah s.a.w bersabda : "(Itu tidak cukup) bahkan hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya Muhammad, dan kitab-Nya al-Quran, dan kepada tiap-tiap kitab yang diturunkan sebelumnya."

Ibn Abbas r.a


Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat turun naik dalam kalangan kamu silih berganti: malam dan siang, kedua-dua puak itu berhimpun pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar; setelah itu puak yang bermalam dalam kalangan kamu: naik, lalu ditanya oleh Allah Taala - sedang Ia mengetahui hal mereka: "Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku semasa kamu tinggalkan?" Malaikat menjawab: "Kami tinggalkan mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang, dan kami datang kepada mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang.

Abu Hurairah r.a


Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaannya mendesaknya meminta mati, mak hendaklah ia memohon dengan berkata: "Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku."

Anas r.a


Keutamaan Saf yang Pertama
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikatnya pula mendoakan bagi orang-orang yang masuk menutup celah-celah saf sembahyang serta orang-orang yang merapatkannya; dan orang yang masuk menutup celah saf sembahyang itu (akan beroleh satu tambahan lagi, iaitu) diangkatkan Allah martabatnya dengan perbutannya yang tersebut: satu darjat."

Aisyah r.a


Ganjaran Memenuhi Dan Merapatkan Saf
Hadith :
Dari Nabi s.a.w, (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w, lalu berkata: "(Ya Rasulullah!) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaranyang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?" (mendengar yang demikian) Baginda s.a.w bersabda: " Adakah kamu merasa ragu-ragu dan serba salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan), dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya daripada menurutku."

Jabir r.a


Keistimewaan Orang Yang Menuntut Ilmu
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Abu Umamah r.a


Bersedekah untuk ‘orang Sebelah’
Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri ra ia berkata, : “Zainab isteri Ibnu Mas’ud telah datang lalu berkata: “ Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau telah memerintahkan bersedekah pada hari ini. Aku memiliki perhiasan dan ingin aku sedekahkan. Tetapi Ibnu Mas’ud merasakan bahawa dirinya dan anaknya lebih berhak aku berikan sedekah”

(al-Bukhari )


Jangan Menolak Sedekah
Hadith :
Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : “Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku.” Nabi bersabda: “Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu.”

(Muslim)


Cara Solat Di Tempat Lalu Lalang
Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a dari Nabi s.a.w mengatakan bahawa Nabi s.a.w dalam suatu perjalanan melintangkan kenderaannya, kemudian baginda solat menghadap ke arah kenderaan itu.”

(al-Bukhari)


Menyesal Kemudian Tiada Gunanya!
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:”Kelak akan ditanya kepada orang kafir pada hari kiamat, bagaimana pendapatmu seandainya seluruh isi bumi ini menjadi emas dan menjadi milikmu, mahukah engkau menebus dosamu dengannya?” Jawab orang itu:”Mahu!” Maka dikatakan kepadanya:”Dahulu telah diminta kepadamu (tebusan) yang lebih ringan dari itu.”

(Muslim)


Kawasan Larangan Dajjal
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a dari Nabi saw. sabdanya,:”Semua negeri akan diinjak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah bergoncang tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah SWT mengeluarkan semua orang kafir dan orang munafik.


Tiga Jenis Musuh Allah
Hadith :
Fari Abu Hurairah r.a, dari nabi saw., sabdanya:”Allah berfirman:”Ada tiga jenis, Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat:
i)Orang yang memberi kerana-Ku, kemudian tidak diakuinya
ii)Orang yang menjual orang yang merdeka, kemudian dimakannya wang hasil jualan tersebut.
iii)Orang yang mengupah kepada pekerja lalu disuruh sempurnakan kerja itu tapi tidak dibayarnya upah itu.”

(Bukhari)


Riya' Perbuatan Syirik
Hadith :
Rasullah s.a.w bersabda: " Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah?'' Baginda s.a.w menjawab: " (Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah…."

Abu Hurairah r.a


Barang Yang Tercicir
Hadith :
Dari Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, dari Rasulullah saw. sabdanya:” Sesiapa yang memungut barang yang hilang, maka dia bersalah selama dia tidak mengumumkannya.”

(Muslim)


Sifat Pemalu Rasulullah S.a.w
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya:”Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari gadis pingitan. Apabila baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah baginda.”

(Muslim)


Air Mazi Tidak Mewajibkan Mandi Hadas Besar
Hadith :
Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi, lalu aku menyuruh al-Miqdad ibn al-Aswad bertanya kepada nabi SAW, lalu ia pun bertanya, maka baginda menerangkan : “Padanya, air sembahyang.”

al-Bukhari . Muslim


Jangan meniru Seperti Yahudi
Hadith :
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."

(Ahmad)


Empat kunci kebahagiaan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!” 



Riwayat Ibnu Hibban


Beriman Kepada Kitab-kitab Allah
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: Berimanlah kamu kepada kitab Taurat, dan kitab Injil, dan kitab Zabur, dan hendaklah kitab al-Quran pula menjadi panduan yang cukup meliputi cara hidup kamu."

Maqil bin Yasar r.a


Pemimpin Cuai, Rakyat Lalai!
Hadith :
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi SAW bersabda: “ Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.” (al-Bukhari 93:8, Muslim 1:6)

al-Bukhari , Muslim


Hilangnya Sifat Amanah Sedikit Demi Sedikit
Hadith :
Huzaifah Ibnu Yaman r.a berkata : “Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua buah hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunah. Dan nabi menceritakan kepada kami tentang pencabutan amanah. Sabdanya yang bermaksud : “Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasannya yang merupakan kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kaki mu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya. Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata” Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai dan dikatakan kepada orang itu : “Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi. Dan sesungguhnya telah datang kepada ku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepada ku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu.” (al-Bukhari 81:35 ; Muslim 1:62) 

al-Bukhari ; Muslim


Syahid Kerana Mempertahankan Harta
Hadith :
Daripada Abdullah ibn Amir r.a katanya : “ Aku mendengar nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia itu syahid.” (al-Bukhari 46:33 ; Muslim 1: 60)

al-Bukhari


Menjauhi Syirik Dalam Segala Bentuknya
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah."

Ibn Umar r.a


Talbiyah Tanpa Henti
Hadith :
Dari Fadhal r.a katanya:”Rasulullah s.a.w sentiasa membaca talbiyah sehingga tiba waktu melontar Jumrah.”

(Muslim)


Membersihkan Tauhid Dari Sebarang Syirik
Hadith :
Rasullah s.a.w bersabda: " Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka."

Abdullah bin Mas'ud r.a


Tidak Dapat Berjemaah
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya:” Kami pergi bersama-sama Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan. Tiba-tiba hari itu hujan lebat. Maka bersabda baginda:”Silakan bagi yang mahu solat di tempat masing-masing.”

(Muslim)


Sama Ada Jin Atau Syaitan
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah Islam. Maka sesiapa yang telah melihat jin-jin ini, beri izinlah dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari telah diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah. Kerana itu adalah syaitan.”

(Muslim)


Binatang Yang Boleh Dibunuh Ketika Sedang Ihram
Hadith :
Dari Zaid Ibnu Zubair r.a katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Umar, katanya:”Binatang apakah yang boleh dibunuh ketika sedang ihram? Jawab Ibnu Umar:”Salah seorang isteri Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya membunuh anjing gila, tikus, kala jengking, helang, gagak dan ular walau dalam solat sekalipun.”

(Muslim)


Pahala Yang Amat Besar
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang meminjamkan untanya kepada satu keluarga untuk diperah susunya pagi dan petang maka pahalanya sungguh sangat besar.”

(Muslim)


Bumi Tempat Sujud
Hadith :
Dari Abu Dzar r.a bertanya:”Ya Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangun kan di muka bumi ini?” Jawab Rasulullah s.a.w :’Masjidil Haram!” Aku bertanya lagi:”Sesudah itu masjid apa?” Jawab baginda:”Masjidil Aqsa!” Aku bertanya lagi:”Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan?” Jawab baginda:”Empat puluh tahun.. Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana bumi ini adalah masjid (tempat sujud).”

(Muslim)


Malang Tak Berbau
Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya:”Pada suatu malam sebuah rumah penduduk Madinah terbakar. Ketika peristiwa itu dikhabarkan orang kepada Rasulullah s.a.w, baginda berkata:”Api itu sesungguhnya musuh bagimu. Kerana itu apabila kamu hendak tidur padamkanlah ia terlebih dahulu.”

(Muslim)


Dunia Dan Wanita
Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekelian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita), kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israel adalah wanita.”

(Muslim)


Rumahku syurgaku
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.” 



(al-Bukhari)


Setakat Yang Terdaya
Hadith :
Dari Jarir r.a katanya:”Aku berjanji kepada Rasulullah s.a.w akan setia dan patuh dan memberi nasihat kepada setiap orang muslim. Lalu beliau bersabda kepadaku:”Lakukanlah sekuasamu.”

(Muslim)


Tawaf qudum
Hadith :
Dari Wabarah r.a katanya:”Ketika aku duduk berdekatan dengan Ibnu Umar, datang seorang lelaki bertanya:”Bolehkah aku tawaf di Bait sebelum wukuf di Arafah?” jawab Ibnu Umar:”Ya! Boleh. Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadah haji, baginda tawaf lebih dahulu di Bait sebelum pergi ke tempat wukuf di Arafah.”

(Muslim)


Sama Seperti Mati Munafik
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang mati tanpa pernah berperang bahkan jiwanya tidak pernah tergerak hendak turut berperang, maka matinya sama dengan mati munafik.”

(Muslim)


Walimatul urus
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.”

(Muttafaqun alaih)


Larangan Bercakap Semasa Mengerjakan Solat
Hadith :
Daripada Muawiyah bin al-Hakim Assalmi r.a. katanya, “Pada suatu masa, aku sembahyang bersama Rasulullah SAW. Tiba tiba seorang dari jamaah bersin, aku pun mengucapkan “Yarhamukallah!” Semua ahli jamaah menjeling kepadaku, lalu aku berkata”Aduhai kesalnya aku! (didalam hati), Satu bencana akan menimpaku, kenapa kamu memandangku?” Semua ahli jamaah memukul peha dengan tangan mereka. Setelah itu barulah aku mengerti bahawa mereka menghendaki aku diam, aku pun diam”. Apabila Rasulullah SAW. selesai mengerjakan sembahyang, baginda tidak berkata apa-apa kepadaku. Demi bapa dan ibuku, tidak pernah aku berjumpa orang yang paling baik cara mengajarnya selain daripada Rasulullah. Demi Allah, baginda tidak memarahi, memukul dan mencelaku. Baginda hanya bersabda, “ Sesungguhnya semasa mengerjakan sembahyang tidak dibenarkan sedikitpun bercakap kerana sembahyang itu merupakan tasbih, takbir serta bacaan ayat-ayat al-Quran.”

Riwayat Muslim


Berusaha Supaya Tidak Menjadi Miskin
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar.”

Riwayat Abu Naim


Makan Makanan Yang Berbau
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya:”Ketika perang Khaibar, kami para sahabat Rasulullah s.a.w terpaksa makan sayur bawang putih. Kerana sangat lapar, kami makan agak banyak.. Kemudian kami pergi ke masjid lalu baunya tercium oleh Rasulullah s.a.w. Maka bersabda baginda:”Siapa yang makan buah yang berbau busuk itu janganlah dekat-dekat kepada kami di masjid.” Berkata orang ramai, “Haram! Haram!” Ketika hal itu terdengar oleh Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:”Wahai manusia! Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang dihalalkan Allah; tetapi hanya kerana tumbuh-tumbuhan itu berbau busuk.”

(Muslim)


Haram Memakan Daging Keldai
Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Tatkala Rasulullah s.a.w menakluk Khaibar, kami menangkap keldai di luar kota lalu kami memasaknya. Tiba-tiba datang pesuruh Rasulullah s.a.w berseru:” Perhatian! Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kamu semua memasak daging keldai kerana daging keldai itu najis (dan memasaknya) termasuk perbuatan syaitan.” Maka dibalikkan orang periuk sehingga isinya tumpah semuanya.”

(Muslim)


Bersengketa Membolot Harta
Hadith :
Dari Muhammad bin Ibrahim r.a katanya Abu Salamah bercerita kepadanya, bahawa Abu Salamah bersengketa dengan kaumnya perihal tanah. Lalu dia pergi kepada Aisyah r.a mengadukan hal itu kepadanya. Kata Aisyah:”Hai Abu Salamah! Jauhilah perkara (sengketa mengenai) tanah. Kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda:”Siapa merampas sejengkal tanah, dikalungkan Allah kepadanya kelak di hari kiamat tujuh lapis bumi.”

(Muslim)


Pahalanya Sama Rata
Hadith :
Dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a, dari Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bekerja menyiapkan perlengkapan perang fi sabilillah bererti dia ikut berperang; dan orang-orang yang menguruskan keluarga yang ditinggalkan orang yang pergi berperang bererti dia ikut berperang.”

(Muslim)


Menolak Secara Baik
Hadith :
Dari Zuhairi r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah:”Aku berpuasa!”

(Muslim)


Meninggal Ketika Ihram
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Seorang lelaki patah lehernya kerana jatuh dari unta ketika ihram bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Lalu baginda perintahkan supaya jenazahnya dimandikan dengan air campuran daun sidir (bidara), tidak dipakaikan haruman dan tidak ditutupkan kepalanya kerana dia akan dibangkitkan kelak di hari kiamat dalam keadaan berihram.”

(Muslim)


Tepuk dada Tanya Iman
Hadith :
Diriwayatkan daripada Mu`awiyah bin Abu Sufyan r.a berkata: ”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Ini adalah hari `Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa)."

(Bukhari)


Rahmat Terhalang Kerana Permusuhan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah S.W.T dalam sejumaat (seminggu) dua kali. Iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan:”Tinggalkanlah kedua orang ini dahulu sampai mereka berdamai.”

(Muslim)


Larangan Beristinjak Dengan Tangan Kanan
Hadith :
Daripada Abu Qatadah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu minum maka janganlah ia bernafas ke dalam bejana (bekas minuman) dan apabila ia ke tempat membuang air (apabila ia membuang air) maka janganlah ia menyentuh zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah dia menyapu dengan tangan kanannya.” (al-Bukhari 4:18, Muslim 2:18)

al-Bukhari Muslim


Doa Ketika Masuk Dan Keluar Tandas
Hadith :
Anas bin Malik r.a berkata adalah nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas mengucapkan “Wahai Tuhan ku, sesungguhnya aku berlindung dengan engkau daripada syaitan jantan dan syaitan betina

al-Bukhari Muslim


Rasulullah Bersugi
Hadith :
Daripada Abu Musa r.a katanya, saya datang kepada nabi SAW lalu saya mendapatinya sedang menggosok gigi dengan suatu kayu sugi di tangannya. Baginda menyebutkan u’ u’ sedangkan sugi berada di mulutnya, seolah-olah nabi mahu muntah.” (al-Bukhari 4:73, Muslim 4:15)

al-Bukhari Muslim


Wajib Berwudhu’ Sebelum Solat
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a katanya nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menerima solat salah seorang daripada kamu apabila ia berhadas sehingga ia berwudhu’.”

al-Bukhari Muslim


Pemimpin Adalah Perisai
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat siksa.”

(Muslim)


Istana Yang Gemerlapan
Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda ”Kelak penduduk syurga akan melihat sebuah kamar di atas mereka, terlihat seperti bintang bercahaya gemerlapan jauh di ufuk Timur atau Barat kerana perbezaan kedudukan mereka.” Para sahabat bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah itu tempat para nabi yang tidak tercapai oleh orang lain selain mereka?” Jawab baginda:”Demi Allah, yang diriku dalam kuasa-Nya, bahkan itu tempat orang-orang yang beriman kepada Allah dan mempercayai para rasul.”

(Muslim)


Elakkan Gambar-gambar Binatang
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah:”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w kembali bertanya:”Bantal-bantal apakah itu?” Jawab Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.” Sabda Rasulullah s.a.w:”Pelukis gambar-gambar ini akan disiksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka:”Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!” Kemudian baginda bersabda:”Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”

(Muslim)


Haram Memakai Tatto
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya:”Rasulullah s.a.w melarang memukul dan membuat cap (menggambari dengan besi panas atau dengan tatto) pada muka.”

(Muslim)


Mereka Bukan Umatku!
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.”

(Muslim)


Tiada Yang Lebih Gembira Daripada-nya
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Allah Taala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang.”

(Muslim)


Dua Pertiga Itu Sudah Banyak
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Kalaulah orang ramai mengurangi dari sepertiga harta yang diwasiatkan mereka menjadi seperempat alangkah baiknya, kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda:”Sepertiga itu sudah cukup banyak.”

(Muslim)


Mukjizat Nabi; Batu Memberi Salam
Hadith :
Dari Jabir bin Samurah r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya akulah yang paling mengenali batu-batu di Mekah. Batu-batu itu memberi salam kepadaku sebelum aku diutus menjadi Rasul. Kini aku ingat peristiwa itu.”

(Muslim)


Membersihkan Najis Mukhaffafah
Hadith :
Dari Ummu Qais binti Mihsan katanya:”Dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan anak lelakinya yang belum makan sesuatu selai dari susu ibunya; ketika anak itu dalam pangkuan Nabi s.a.w, ia terkencing. Berkata yang meriwayatkan hadith ini dari Ummu Qais, bahawa Rasulullah s.a.w tidak lebih dari memercikkan air ke tempat yang terkena kencing itu.” 

(Muslim)


Karut Dan Tahyul
Hadith :
Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada penularan, tidak ada pengaruh atau tanda bahaya daripada suara burung dan tidak ada hantu.”

(Muslim)


Kolam Al-kaunthar
Hadith :
Dari Samurah r.a, bahawa Nabi s.a.w : “Sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang Nabi ada sebuah kolam, dan sesungguhnya mereka masing-masing akan bermegah – megah siapakah yang umatnya lebih ramai datang minum dan sesungguhnya aku berharap aku akan menjadi orang yang lebih ramai umatnya datang minum.”

Riwayat Tirmizi


Keintiman Suami Isteri
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Pada suatu waktu ketika aku sedang haidh, aku minum. Kemudian gelasku kuberikan kepada nabi s.a.w, baginda baginda meletakkan bibirnya di bekas mulutku lalu baginda minum pula. Pernah ketika aku sedang haidh, aku makan sepotong daging. Setelah kugigit daging itu kuberikan kepada nabi s.a.w lalu baginda menggigitnya pula dibekas gigitanku.”

(Muslim)


Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.

Riwayat Hadith al-Bukhari


Akhir Umur Dunia
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya".

Jabir r.a


Azan Dan Qomat
Hadith :
“Daripada Anas r.a. katanya, “diperintahkan Bilal supaya menggenapkan azan iaitu (dua – dua atau empat – empat) dan mengganjilkan qomat, kecuali ketika menyebut, “qodko matissolah” (yakni disebut dua kali). Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan muslim tetapi muslim tidak menyebut pengecualian itu.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Wanita Quraisy
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Wanita Quraisy itu amat baik, mereka dapat menunggang unta, amat pengasih pada anak-anak dan pandai menjaga harta suami.”

(Bukhari)


Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana
Hadith :
Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan", dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat".

Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a


Biarpun Miskin Ada Baiknya
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:” Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.”

(Muslim)


Mencukur Rambut
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Bahawasanya Rasulullah s.a.w mencukur rambut ketika baginda haji wada’.”

(Muslim)


Harta Yang Berkat
Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya, dia meminta sedekah kepada Nabi s.a.w lalu diberi oleh baginda. Kemudian dimintanya lagi lalu diberi pula oleh baginda. Kemudian baginda bersabda,:”Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang menerimanya dengan nafsu serakah dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang. Dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

(Muslim)


Diam Tanda Setuju
Hadith :
Dari Ab Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda:”Seorang wanita janda, tidak boleh dikahwinkan tanpa bermesyuarat terlebih dahulu dengannya. Seorang gadis perawan tidak boleh dikahwinkan sebelum meminta izin kepadanya.” Para sahabat bertanya:”Bagaimana bentuk keizinan gadis itu?” Rasulullah menjawab:”Jika dia diam sahaja.”

(Bukhari)


Kebajikan Dan Keburukan
Hadith :
Musaddad menyampaikan kepada kami, dari Abdul Aziz bin Mukhtar, dari Khalid al-Hazza’, dari Akramah katanya:”Abdullah bin Abbas berkata kepada aku dan anaknya Ali:”Kamu berdua dengarlah hadith (daripadanya). Maka kami berdua pun pergi dan ketika itu Abu Said sedang membersihkan halaman. Ia mengambil selendangnya lalu duduk. Selepas itu ia mula menyampaikan hadith hingga sampai kepada membicarakan binaan masjid. Beliau berkata:”Kami membawa batu-bata sekeping demi sekeping dan Ammar pula membawa dua batu bata (sekaligus), maka nabi s.a.w melihatnya lalu baginda mengibas-ngibas tanah daripadanya sambil bersabda:”Kasihan Ammar, puak pelampau ingin membunuhnya sedangkan ia menyeru mereka kapada syurga dan mereka menyerunya kepada neraka. Abu Said berkata, Ammar menjawab:”Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah.”

(Bukhari)


Larangan Meminta-minta Dan Menzahirkan Kefakiran
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya apabila Allah S.W.T. telah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka melihat kesan nikmat yang telah dikurniakan itu. Allah S.W.T. benci melihat orang yang menzahirkan kefakiran dan orang yang meminta-minta serta Allah S.W.T. mengasihi orang yang bersifat malu dan memelihara kehormatan.”

Baihaqi


Kualiti Iman Seorang Muslim
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah.”

Baihaqi


2 Waktu Diharamkan Solat
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Janganlah kamu menunggu-nunggu waktu (solat) kerana sengaja hendak solat tepat pada waktu matahari terbit dan jangan pula pada waktu matahari terbenam.”

(Muslim)


Hanya Bila Sudah Jelas
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila kamu merasa ada angin dalam perutmu, kemudian kamu ragu adakah angin itu keluar atau tidak, maka janganlah keluar daripada masjid sebelum jelas terdengar suara (kentut) atau mencium bau.”

(Muslim)


Bersekutu Tujuh Orang
Hadith :
Dari Abu Zubair, dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya:”Kami pernah menyembelih korban bersama-sama rasulullah s.a.w di tahun perjanjian Hudaibiyah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang.”

(Muslim)


Elakkan Fitnah
Hadith :
Dari Zainab ats-Tsaqafiy r.a katanya:”Apabila kamu (para wanita) mengikuti solat Isyak berjamaah di masjid, maka janganlah memakai harum-haruman ketika itu.”

(Muslim)


Hari Nahar (10 Zulhijjah)
Hadith :
Dari jabir r.a katanya:”Aku melihat nabi s.a.w melontar dari atas kenderaannya pada hari Nahar (hari menyembelih korban iaitu 10 Zulhijjah). Lalu baginda bersabda:” Hendaklah kamu sekelian pelajari dengan bersungguh-sungguh bagaimana caranya aku mengerjakan haji, kerana aku tidak tahu barangkali aku tidak akan sempat lagi mengerjakan haji sesudah hajiku ini.”

(Muslim)


Barang Orang Haji
Hadith :
Dari Abdurrahman bin Usman at-Taimi katanya:” Rasulullah s.a.w melarang memungut barang-barang orang haji yang tercicir”

(Muslim)


Ketetapan ajal
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.”

(Muslim)


Bertaubatlah!
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Wahai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepadnya seratus kali setiap hari.”

(Muslim)


Adab Meludah Ketika Bersolat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, katanya:”Rasulullah s.a.w melihat kahak di kiblat masjid. Lalu baginda menghadap kepada orang ramai lalu bersabda:”Bagaimana pendapat kamu semua jika seseorang sedang solat menghadap Tuhannya, lalu dia meludah ke hadapan? Senangkah kamu jika kamu sedang dihadapi seseorang, tiba-tiba orang itu meludahi mukamu? Kerana itu jika kamu meludah ketika solat, maka ludahlah ke kiri atau ke bawah kakimu. Jika itu tidak mungkin, ludahlah ke sapu tanganmu.”

(Muslim)


Janda Penzina
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak halal darah seorang muslim yang mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mengakui aku Rasulullah, melainkan dengan tiga perkara: 1) Seorang janda yang berzina, 2) seorang pembunuh yang harus dibunuh, 3) seorang yang keluar dari dari agamanya (Islam), lalu dia berpisah dari jamaah muslimin.”

(Muslim)


Disolatkan Oleh Seratus Orang
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Tidak suatu pun mayat yang disolatkan oleh seratus orang kaum muslimin dan semuanya memohon syafaat bagi mayat tersebut melainkan Allah mengabulkan permohonan mereka itu.”

(Muslim)


Menjadikan Bumi Tempat Sujud
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Kami solat bersama-sama Rasulullah s.a.w ketika hari tersangat panas. Seorang yang tidak sanggup meletakkan dahinya di bumi membentangkan kain lalu dia sujud di atas kain itu.”

(Muslim)